Rabu, 12 Februari 2014
Dua Sahabat Mati Berpelukan

BATU GAJAH – Hajat dua sahabat menjala ikan berakhir tragedi apabila mereka ditemui lemas di sebuah kolam ikan berhampiran Jalan Ipoh-Lumut di sini, semalam.
Lebih memilukan, mayat mangsa, Mohd Yati Yeop Ahmad, 42 dan Mohammad Zhairii Shahuddin, 26, ditemui dalam keadaan berpelukan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Batu Gajah dan Unit Skuba dari Ipoh kira-kira jam 8.28 pagi, selepas dua hari dilaporkan hilang.
Mohd Yati dipercayai tidak pulang ke rumah selepas menonton perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan negara menentang Barcelona kira-kira jam 11 malam, Sabtu lalu di rumahnya sebelum bertemu dengan Mohammad Zhairii.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, gerakan mencari diteruskan selepas terima laporan polis dari keluarga mangsa.
“Kedua-dua mangsa disyaki lemas dan bantuan Bomba dan Penyelamat diperlukan untuk mencari mangsa berdasarkan petunjuk-petunjuk yang ditemui seperti jaring ikan dan selipar yang dipakai ketika kejadian.
“Pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati tiada kesan pergelutan. Usaha bomba yang diketuai Ketua Operasi, Halid Md Zin berjaya menemui mayat mangsa,” katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa tidak mempunyai kecederaan lain ketika ditemui.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diterima,” katanya.
Nasi bungkus untuk anak
“Suami saya sempat mencari bahan terbuang untuk membeli nasi sedap (nasi bungkus) semata-mata untuk makan bersama kesemua anaknya,” demikian cerita isteri Mohd Yati, Sarinah Mohd Hatepi, 35, sebelum suaminya itu ditemui lemas.
Menurutnya, arwah suaminya itu hanya sempat bertemu dengan tiga anaknya berikutan empat anak yang lain telah beraya di kampung nenek mereka di Manong, Kuala Kangsar.
“Bagi kami, nasi bungkus adalah nasi mewah dinikmati kami sekeluarga dan perlakuan arwah membeli disifatkan agak pelik.
“Selain itu, arwah tidak melepaskan peluang yang ada bermanja dengan tiga anak yang lain sehingga anak perempuan berasa rimas apabila arwah sering mencium. Namun, tidak sangka itu petanda arwah akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik, Hospital Batu Gajah.
Sarinah berkata, arwah tidak sempat bertemu empat anaknya iaitu Mohd Azwan, 18; Nor hayati, 12; Nor Hayani, 10 dan Mohd Riduan, 4.
“Arwah rajin bekerja menerima upah dari penduduk setempat sekiranya ada yang mahukan ikan air tawar selain mengutip barangan terpakai yang boleh dijual semula seperti tin kosong dan sebagainya.
“Namun, Syawal kali ini dilihat berbeza berbanding tahun sebelumnya apabila arwah beria-ia membuat lemang sendiri sedangkan ia di luar kemampuan kami untuk menyediakannya,” katanya.
Malam kejadian, dia berusaha menghubungi telefon bimbit Mohd Yati selepas keluar rumah tanpa memberitahu tujuannya.
“Kami berusaha mencari di seluruh kawasan memancing dalam daerah ini sehingga diberitahu salah seorang rakan arwah yang ternampak kereta Perodua Kancil milik rakannya itu di sebuah kolam tidak jauh dari Pusing.
“Usaha mencari telah menemukan jaring ikan yang sering digunakannya untuk menjala dan selipar kegemarannya ketika keluar,” katanya yang kini tinggal bersama tujuh anaknya menyewa di Kampung Pisang.
Katanya, bebanan semakin bertambah apabila dia terpaksa menjaga anak ketiganya yang juga orang kurang upaya (OKU) selain menyara anak berusia dua hingga 18 tahun.
Rancang bertunang
Mangsa kedua, Mohammad Zhairii merancang untuk mengadakan majlis pertunangan dengan gadis pilihannya pada November depan.
Ibunya, Harohani Abu Kassim, 53, berkata, hasrat itu disuarakan baru-baru ini selain reaksi arwah yang lebih ceria dan banyak tersenyum.
“Memang tidak syak apa-apa perubahan pada arwah dan memikirkan raya kali ini bermakna apabila 10 anak saya berkumpul bersama-sama dalam menyambut Syawal.
“Memang tidak dapat terima hakikat yang anak ke lima saya ini pergi dahulu menghadap Ilahi dalam keadaan begini,” katanya.
Menceritakan kali terakhir bersua muka, Harohani berkata, Mohd Yati datang ke rumahnya sebelum keluar kira-kira jam 4 pagi menaiki kereta kancil milik Mohammad Zhairii.
Jenazah Muhammad Zhairii dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Redang Sawa Gopeng manakala Mat Yati di Tanah Perkuburan Ara Panjang, Kuala Kangsar. – Sinar Harian
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar